| ||
"Jadi ibu tunggal glamor lebih sukar" | ||
Tujuh tahun hidup sebagai ibu tunggal setelah perkahwinan yang dibina berakhir dengan perceraian, memang merupakan satu perjalanan yang sukar ditempuhi oleh pelakon jelita ini. Begitu banyak onak dan ranjau yang perlu dilaluinya, lebih-lebih lagi apabila berada di dalam industri hiburan ini. Maria pernah dikecam kerana penampilan seksinya pada sebuah majlis korporat tidak lama dulu, dan tidak kurang juga yang membuat tanggapan negatif akan statusnya sebagai janda dan ibu tunggal. Namun, itu semua tidak pernah mematahkan semangat Maria untuk terus bertahan di dalam industri ini. Apa yang penting, dia bahagia dengan kehidupannya sekarang di samping anak tercinta, Mizan Ashley yang kini berusia sembilan tahun. Walaupun ada yang melabelkannya sebagai 'ibu tunggal glamor', Maria Farida tidak pernah mengambilnya sebagai pujian, malah menganggap gelaran itu sebagai satu peringatan agar sentiasa berhati-hati dengan segala tindak-tanduknya. "Besar sebenarnya cabaran yang perlu dilalui oleh ibu tunggal yang dikenali ramai. Ia tidaklah seindah yang disangkakan. "Mereka lebih suka menilai diri kita daripada luaran saja. Perkara ini memang menyedihkan," luah pelakon berusia 39 tahun ini. Ditanya jika dia sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga sekali lagi, Maria yang agak keberatan untuk bercerita lanjut mengenainya hanya tersenyum. Hanya setelah berkali-kali dipujuk, barulah pelakon ini bersuara tentang hal tersebut walaupun hanya secara ringkas. "Perkara ini terlalu peribadi untuk diceritakan. Saya tidak pernah ada masalah walaupun tujuh tahun hidup 'bersendirian'. Tetapi, saya tidak pernah menolak jodoh," kata Maria. Cerewet pilih watak Sudah 15 tahun berkecimpung di dalam dunia lakonan, Maria boleh dianggap sebagai salah seorang
pelakon senior yang berkaliber. Bermula dengan filem pertamanya, Queen Control sehinggalah hari ini di mana Maria menjadi tunggak utama drama Astana Idaman 3, pelakon ini berjaya membuktikan dia masih layak berada di persada ini. Namun, Maria akui, dirinya kini semakin cerewet memilih watak. Bukan demanding, tetapi katanya, dia tidak mahu digelar pelakon stereotype, sedangkan bidang lakonan ini sudah lama diceburinya. "Memang saya pernah juga bawa watak-watak lain. Tetapi sejak saya berlakon watak jahat di dalam Astana Idaman musim pertama kira-kira tiga tahun lepas, ramai pengarah tawarkan saya watak yang sama. "Cukuplah saya bawakan watak itu di dalam Astana Idaman saja, dan saya tidak mahu pegang peranan yang sama dalam drama atau filem lain," ujar Maria. Kerana perkara itulah, tambahnya lagi, dia rela menolak banyak tawaran berlakon dan hanya akan menerimanya jika watak yang ditawarkan berlainan dengan watak-watak yang dibawa sebelum ini. Bercerita tentang projek terbarunya pula, Maria ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk musim ketiga drama Astana Idaman di samping gandingan pelakon baru dan lama drama itu seperti Jalaluddin Hassan, Hamidah Wahab, Zachery F, Cheryl Samad, Tony Eusoff, Leez AF4, Serina Redzuawan dan Zed Zaidi. Kali ini, kata Maria, watak jahat yang dibawanya lebih agresif berbanding musim-musim yang lepas. "Kalau dulu ramai penonton menyampah tengok lakonan saya, kali ini saya rasa mereka pasti lebih menyampah kerana lebih banyak konflik akan berlaku. "Tetapi, saya amat sukakan drama ini. Saya sendiri puas hati dan saya sanggup sambung kontrak untuk musim-musim yang seterusnya jika ditawarkan," tambahnya. | ||
| ||
|
0 comments:
Post a Comment